Pertanggungjawaban Pilihan

Kita akan bercakap tentang pilihan dalam tulisan panjang kali ini.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat, dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar. Mereka itu umpama binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
(Al-A’raf:179)

Al-Qur’an telah merakam bagaimana neraka akan dipenuhi kalangan kita; yang diberikan hati, mata dan telinga tetapi gagal menggunakannya ke arah jalan yang benar; jalan untuk mentaati Allah SWT.

Kita adalah manusia yang diberi keistimewaan berbanding makhluk lain, dengan itu kita memperolehi kebebasan untuk memilih.

Saya kerap kali menyebut tentang pilihan dalam banyak tulisan sebelum ini. Antaranya,

“Kita, adalah apa yang kita sibukkan. Setiap pilihan; pekerjaan, pelajaran, perkahwinan, pemakaian, pemakanan, pengumpulan harta mahupun hutang, adalah sebuah pertanggungjawaban yang akan ditanya Tuhan.

Setiap hari kita melalui rutin masing-masing. Kadang-kadang, disebabkan kesibukan berlumba-lumba di kota metropolitan, kita jadi terlupa, apa sebenarnya yang kita kejarkan?”

Dan saya juga seperti orang lain melewati satu demi satu persimpangan yang memerlukan saya untuk buat pilihan.

Prolog

Baru-baru ini sewaktu Majlis Konvokesyen UIA, saya membelek-belek buku graduasi yang diberikan, dan melihat nama saya tersenarai di dalam senarai pelajar rector’s list. Saya bersyukur, sambil memandang kosong ke hadapan. Perjalanan sejauh ini cukuplah Tuhan sebagai saksi yang memberi pengiktirafan.

Pagi sebelum majlis, adik lelaki saya memberitahu seorang ‘kawan’ saya dari sekolah lama, menelefon dia dan bertanya tentang keberadaan saya. Saya dapat rasakan itu hanyalah penipuan. Seseorang sedang melakukan penyamaran, sebab tak mungkin kawan sekolah lama akan menghubungi adik untuk mencari saya; ada banyak lagi cara yang lebih mudah dan menyenangkan.

Di tengah-tengah majlis, seorang wakil perhubungan korporat UIA, menghampiri tempat duduk saya dan belum sempat beliau memberitahu niat sebenar, saya menebak, “wartawan?” beliau mengangguk. Saya geleng kepala menandakan “tidak”. Beliau bertanya lagi, “kalau ambil gambar sahaja?” Saya menyatakan dengan tegas, “tak nak.” Dan beliau pun berlalu pergi.

Kawan di sebelah bertanya, “Kenapa tak nak masuk surat khabar?”

Persimpangan Pilihan

Saya menoleh ke 10 tahun ke belakang, dan melihat satu demi satu episod yang tidak dirakam oleh mana-mana insan kecuali saya sendiri dan Tuhan yang menyaksikan.

Di usia 17 tahun, saya memilih untuk mengambil 20 subjek dan terhasillah satu sejarah besar yang membekas dalam kehidupan saya sebagai seorang hamba Tuhan.

Kemudian saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Fizik di Jordan, dan menamatkan tahun pertama dengan baik, alhamdulillah. Keputusan yang baik membuka ruang untuk saya berbincang dengan pihak penaja tentang kemungkinan menukar tempat pengajian. Kata sepakat dicapai, dan saya membuat persediaan untuk pertukaran ke UK. Setelah selesai tempoh persediaan, saya ke UK dan memulakan pengajian dalam bidang Fizik di Nottingham. Di UK, saya mengikuti kelas seperti kebiasaan, menghantar kerja-kerja kursus mengikut waktu yang diberikan, dan melalui hari-hari pengajian seperti semua orang.

Cuma dengan senarai persoalan yang saya simpan kemas di sudut yang terdalam. Sehingga akhirnya saya berhenti bersoal di dalam hati, menyuarakan kepada semua pihak yang berwajib, dan berdiri untuk pilihan seterusnya yang dijangka akan memeranjatkan semua orang.

Tapi saya tahu saya harus berani, demi kehidupan yang akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan di akhirat kelak. Walau apa pun pandangan dan pertikaian yang akan dihadapkan.

Saya kembali ke tanah air, memulakan perbincangan sekali lagi, dan menerima perkhabaran bahawa ibu saya dimasukkan ke wad dan disahkan menghidap penyakit paru-paru kronik.

Saya mengambil ini sebagai petanda sokongan bahawa saya harus kekal di tanah air.

Perjalanan panjang yang telah saya lalui sebelum itu, membawa saya kepada satu persimpangan yang tidak pernah terjangkakan. Saya boleh memilih untuk abaikan bisikan hati, petunjuk demi demi petunjuk yang Allah SWT berikan dan teruskan sahaja apa yang telah dimulakan, demi memelihara ‘nama baik’ dan ‘sanjungan’ yang telah diberikan.

Tetapi bukankah dalam Surah Al-A’raf telah menyebut, orang yang tidak menggunakan hati, mata dan telinga untuk mencapai kebenaran, adalah seumpama haiwan ternakan?

Dan kehidupan adalah senarai pilihan yang akan dipertanggungjawabkan.

Allah SWT berfirman:

Dan kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur: “Kalaulah tidak kerana kamu, tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman”.

Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? Bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa”.

Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: “Tidak! Bahkan perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.”

(Saba’: 31-33)

Saya tidak mahu pilihan saya dibuat di bawah pengaruh sesiapa, atau ketakutan terhadap pandangan manusia.

Saya memilih untuk mendalami Al-Qur’an dan Sunnah, kerana perjalanan demi perjalanan yang saya lalui, menghantar saya kepada sebuah kesedaran bahawa saya perlu meletakkan prioriti dengan hakiki. Agar usia saya tidak dihabiskan dalam ilusi.

Dan Tuhan sungguh-sunguh Maha Mengetahui.

Selepas setahun saya kembali, ibu saya meninggal dunia, sehari sebelum Ramadhan.

Mahkamah Tuhan

Saya tidak berniat untuk bercerita tentang kisah hidup saya kepada sesiapa, kerana saya percaya setiap orang punya perjalanan masing-masing. Dari kefahaman yang Tuhan anugerahkan selepas pengalaman demi pengalaman di bawah sorot lampu media, saya belajar bahawa sebaik-baik pilihan bagi seorang perempuan di akhir zaman, adalah menjauhkan diri dari menjadi tumpuan khalayak awam.

Tetapi sesetengah pihak akhir-akhir ini nampaknya galak mengumpul dosa umpat dan fitnah, tokok tambah asam dan garam, sehingga sanggup menggadaikan akhlak sebagai seorang yang beragama Islam dan menceroboh ruang individu demi keseronokan dan keterujaan yang sebenarnya, hanyalah kesementaraan.

Tidak ada mahkamah yang lebih berhak menghukumi tindak tanduk ini, melainkan mahkamah Tuhan yang penuh keadilan dan kesaksamaan.

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta jika ia menceritakan semua yang ia dengar.” (Sahih Muslim)

Berhati-hatilah kita dalam berbicara, apatah lagi di era media sosial, janganlah sampai kesan dosa kita tinggalkan melata.

Dalam kita berbicara tentang orang lain, menyebarkan maklumat yang kita sendiri tak tahu dari mana sumber, entahkan sahih entahkan rekaan semata-mata, janganlah kita selesa di sebalik skrin komputer, seolah-olah tidak ada siapa yang boleh berbuat apa-apa terhadap kita, kerana ada malaikat sedang mencatat setiap patah huruf yang kita nukilkan, setiap patah ucapan yang kita tuturkan. Ingat, dosa sendiri boleh kita minta ampun dari Tuhan, dosa dengan orang lain perlu minta keampunan dari orang berkenaan. Sanggupkah kita meredah lautan manusia di tengah kehangatan Yaumul Hisab demi secebis kemaafan dari orang yang telah kita borak umpatkan?

Serahkan kepada Tuhan

Kita kembali kepada pilihan.

Setinggi mana pun pencapaian kita di dunia ini, kita akan kembali kepada Tuhan. Sejauh mana pun kita pergi di alam semesta ini, kita akan dipersoalan satu demi satu di hadapan Tuhan.

Setiap pilihan yang menghasilkan perjalanan yang perlu kita tempuhi kemudian, adalah hikmah yang perlu kita maknakan sebagai hamba Tuhan.

Setiap kecemerlangan dan juga kegagalan, juga adalah pilihan untuk kita dapatkan. Jika kita membuat pilihan, kemudian berusaha sedaya upaya, kita akan mendapatkannya dengan izin Tuhan. Jika kita tidak memilih, demi apa sahaja alasan yang hanya kita faham, kita sendirilah yang menanggung kesan dari hal berkenaan.

Dan pilihan insan lain, adalah ruang yang perlu kita hormati dan doakan yang terbaik buat mereka. Kita tidak perlu mengambil kerja Tuhan untuk menetapkan kedudukan dan darjat insan, dengan akal kita yang sangat terhad pengetahuan. Kita cuma perlu menilai ke dalam diri, sejauh mana kita sendiri jelas dengan pilihan yang telah kita putuskan?

Konklusi
Saya telah memilih untuk tidak lagi ditemubual oleh mana-mana media. Sebab saya mahu kalau pun ada secubit kebaikan dari sebarang perkongsian tentang perjalanan saya, biarlah datang dari saya sendiri. Sebab itu saya menulis di laman web rasmi sendiri yang diberi nama ‘Noktah Terjahit’, memilih untuk menerbitkan buku yang mengumpulkan hasil penulisan dari laman tersebut, dan membuka ruang pertemuan apabila terdapat ketelusan dan ketulusan.

Saya tidak mencatatkan diari peribadi di dalam buku ‘Noktah Terjahit’, kerana saya percaya apa yang wajar dikongsi hanyalah pelajaran dan refleksi yang telah saya perolehi.

Jika ada kisah harian yang mahu kita contohi, juga buat sumber inspirasi, marilah kita kembali kepada Sirah Nabawi. Setiap hari yang RasuluLlah SAW jalani terkandung padanya motivasi yang tinggi buat kita meneruskan perjalanan hidup ini.

Saya telah menolak untuk ditemuramah, apatah lagi diambil gambar, agar kewujudan saya tidak perlu diperbesarkan oleh suara yang bukan milik saya sendiri.

Kerana pengalaman juga telah mengajar saya, berita yang disebarkan dari mulut ke mulut, selalunya akan berakhir dengan cerita sensasi yang bersalut banyak kepalsuan. Melainkan dengan disiplin ilmu yang hakiki, serta hemah dan amanah yang tinggi, barulah kebenaran sesuatu perkhabaran itu dapat dikekalkan.

 Sebahagian ‘info’ yang sedang tular ada kebenarannya, sebahagian lagi adalah rekaan atau mungkin dengan baik sangka, salah tanggapan. Tetapi siapa yang beri izin pada awalnya untuk bercerita?

Saya tidak pernah bersembunyi. Juga tidak pernah hilang. Saya cuma memilih untuk berada di tengah-tengah khalayak dengan cara yang tersendiri.

Tetapi ada pihak yang memilih untuk menyambungkan perca dan cebisan maklumat tentang perjalanan dan pengalaman saya dengan perkataan masing-masing dan menghasilkan konklusi mereka sendiri, tanpa keizinan saya sebagai tuan punya punya diri.

Saya masih di sini, dan menjadi saksi di atas segala perbuatan ini.

Tetapi saya tidak akan bertanggungjawab di atas pilihan orang lain.

Untuk mereka yang ikhlas mengutus doa kebaikan buat saya, terima kasih saya ucapkan. Semoga ganjaran yang berlipat ganda kebaikannya dikembalikan buat anda.

Selamat menempuhi perjalanan panjang bertemu Tuhan.

Semoga kita kembali dengan sebaik-baik pilihan yang dapat kita pertahankan di hadapan Tuhan.

Share: