Hidup adalah putaran roda masa, menghasilkan kenangan yang bakal dimainkan kelak di akhirat. Hidup adalah selirat lilit-lilit berwarna merah, kuning, hijau, biru dan jingga yang membentuk bebola warna gergasi yang indah. Hidup adalah suara-suara jiwa yang menyanyikan lagu paling merdu, tanpa bunyi yang bisa dirakam oleh teknologi ciptaan manusia.

Hidup, adalah misteri yang sering membuat kita keliru, meskipun setiap hari kita berlari melaluinya.

Dalam hidup, kita beraktiviti. Kita meletakkan erti, kita berkomunikasi dan kita menyayangi. Di lembah kehidupan, kita menanam benih-benih cinta dan berharap menuai hasil yang terbaik.

Menjadi hamba, merupakan nikmat terbesar yang memandu perjalanan insan. Kita insan, bukan haiwan. Kita punya akal, nafsu dan jiwa yang akan sentiasa bertelagah dan perlu sentiasa ditenangkan.

Kita manusia yang selalu perlu kepada yang lain untuk mengingatkan kerana kita adalah makhluk pelupa. Sebagaimana moyang kita Adam as yang terlupa pesanan Tuhan dari memakan buah larangan ketika di syurga, lalu diturunkan ke dunia.

Namun Adam as, menjadi tauladan buat kita yang berdosa. Mengajarkan kita, bahawa setiap pendosa itu punya harapan. Menunjukkan kita bahawa Tuhan itu Maha Penyayang; mengaku khilaf dan memasang tekad untuk tidak mengulangi lagi silap, Tuhan pasti akan mengampunkan.

Manusia, selalu sinonim dengan sikap pentingkan diri. Di celah-celah keasyikan kita memenuhi kehendak dan keperluan diri, kita sering mengurangi rasa sensitif terhadap teman-teman di perjalanan. Kita selalu mahu beban kita dikurangi. Tetapi kita tidak sedar, atau sengaja tidak mahu sedar, bahawa kita telah menambah beban pada teman yang lain.

Pernah kita bertanya sejenak?

Aku sering merujuk dia setiap kali ditimpa masalah. Namun, adakah aku pernah mencari masa untuk menjenguk keadaan dirinya ketika aku tidak dijenguk musibah?

Betapa lucu kita ini. Bagaimana begitu tegar melepaskan beban ke bahu orang lain? Betapa sedih kita ini. Bagaimana bisa lupa bertanya demi perhatian kepada diri sendiri?

Masalahnya pada dunia hari ini, akibat dikuasai sikap pentingkan diri, kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Thing is to be used, human is to be loved. Tetapi majoriti kita mengamalkan apa yang sebaliknya; human is to be used, thing is to be loved.

Hidup adalah keindahan, hanya apabila kita berjaya meletakkan makna pada tempatnya. A thing for every place, a place for every thing.

life is blank