Kembali menjadi murid sekolah.

Kicauan unggas bertasbih memuji Tuhan di pagi yang cerah dan basah. Saya berteleku di sisi jendela, melepaskan pandang ke rimba kecil yang menghijau di luar bilik. Masih mengimbau kenangan-kenangan di Jordan. Saya membaca semula puisi yang saya coretkan sebaik sahaja pulang ke Malaysia dari Jordan.

pesan pada jalan itu
aku rindu mahu jalan di dadanya lagi
meskipun sesak dengan insan
walaupun cemar dengan ekzos
kendatipun bingit dengan bunyi hon
aku senang berpeleseran melanggar waktu qarar
ya, membelakangi aturan dan memenangkan kenakalan

sampaikan pada gonggok merah itu
aku mahu kecewa mengejarnya selepas jatuh senja
lalu di akhirnya aku meredah pekat malam sendirian

bilang sama bangunan-bangunan gah itu
aku terimbas rebah di kaki lima mereka
tika kebosanan menanti waktu
tika kelelahan mengenang harapan
tika kepenatan meneruskan juang

lalu kusandarkan belakang ke dinding batuan
dan kuhembus angin keluhan

katakan pada koster yang tersusun di mujamma3 itu
aku kangan mahu menerawang di perutnya
membiar khayalku lepas bebas
ke angkasa

khabarkan pada pak cik mak cik
aku mahu gelak sakan lagi bicara dengan terkial
sehingga aku menggeleng dan mereka mengangguk
ingatkan pada imarah itu
tutup kemas pintumu bila malam menjelma
jaga temanku Ecah baik-baik
jangan biar dia luka
siap kamu kalau sampai temanku itu apa-apa

sampaikan pada si kuning
aku rindu suraunya
aku rindu dingin bayu yang membisik di celah jendelanya
aku rindu memujuk gelora seharian disaksikannya
dan wasiatkan pada langit malam di sana
aku mahu dia temani tangisku lagi
aku mahu bintang-bintang sana
iringi rintik yang tak tertahan

Usai menyambut Aidilfitri pada hujung tahun 2010, saya membuka lembaran baru di Kolej Tuanku Jaafar. Mempersiap diri untuk mengambil Sijil A Level, satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum ke United Kingdom.

Di KTJ saya menemui pelajar dari pelbagai latar belakang. KTJ ialah sebuah sekolah berasrama penuh antarabangsa, yang menggunakan silibus pendidikan British, menerima pelajar dari pelbagai negara seperti Korea, Maldives, Indonesia, dan sebagainya. Kebanyakan pelajar yang bersekolah di KTJ adalah anak-anak expatriates yang menetap di Malaysia.
Pertama kali menjejakkan kaki ke KTJ, tidak dinafikan saya agak terkejut dengan suasana yang sangat jauh berbeza dan tidak pernah saya temui sebelum ini. Saya kaget. Ketika mengambil ukuran untuk uniform, fikiran saya ligat berfikir, bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan semua ini? Tidak pernah terlintas dalam bayangan fikiran bahawa saya akan memakai uniform ini.

Adaptasi Diri.

Sebagaimana sekolah berasrama penuh yang lain, Kolej Tuanku Jaafar (KTJ) juga mempunyai peraturan yang ketat bagi menjaga keselamatan pelajar.

Daripada seni bina bangunannya yang mengambil tema negara Britain hingga kepada makanan, budaya, dan asrama, membuatkan kita berasa seolah-olah kembali ke zaman kolonial.
Di sini, asrama kediaman lebih mesra dikenali sebagai ‘house’ atau ‘rumah’ dan terdapat tujuh rumah sekitar KTJ iaitu Jawahir, Alia, Irinah, Naquiyuddin, Nadzimuddin, Nadzaruddin, Imran, dan Naquiyyah. Saya ditempatkan di rumah Jawahir.

Berada di Jawahir adalah antara perkara yang paling saya syukuri sepanjang menuntut di KTJ. Jawahir menemukan saya dengan ramai orang yang sangat saya hargai dan memberikan saya pelajaran yang tidak ditemui di tempat lain tanpa perlu menggadaikan prinsip sendiri.

Lama-kelamaan, saya mula menerima perubahan ini dan belajar untuk mengadaptasikan diri.

A ship in harbor is safe, but that is not what a ship for atau maksudnya, sebuah kapal yang berada di dermaga akan selamat, tetapi itu bukanlah tujuan kapal tersebut dicipta. Kapal direka oleh manusia untuk membelah lautan dan meneroka samudera dan sudah semestinya, apabila berada di tengah lautan, ombak dan badai akan menimpa.

Di situ bermulanya sebuah kehidupan. Insan yang memilih untuk tetap di dalam zon selesa akan terus berasa selamat, tetapi apabila keluar dari zon selesa, dia akan menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan. Namun, cabaran itu akan melahirkan pelajaran yang berharga dan mematangkan diri. Malah, cabaran itu akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan jika dia berani untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Saya menghabiskan hampir dua tahun di KTJ yang terbahagi kepada dua peringkat, iaitu Tingkatan 6 Bawah dan Tingkatan 6 Atas. Sepanjang dua tahun, saya meneroka perkara baru yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini.

Saya menyertai aktiviti lasak termasuk mendaki Gunung Datuk dan Outward Boundary School (OBS) Lumut yang merangkumi pelbagai kegiatan seperti perkhemahan, berkayak, rope climbing dan rock climbing.

Pada awalnya saya agak kekok dan teragak-agak ditambah pula dengan penampilan saya yang bertudung labuh, bagaimana saya akan memakai peralatan untuk flying fox? Namun saya percaya there is always a first time for everything. Sentiasa ada kali pertama untuk setiap perkara. Saya memberanikan diri untuk mencuba dan mendapati semua kegiatan itu sangat menarik dan mengujakan!

Peluang berada di atas angin, menawan puncak gunung dan berdiri sambil memandang ke bawah, berkayak merentasi Laut Cina Selatan dari Pulau Pangkor ke base camp selama hampir sembilan jam dan bermalam di dalam khemah seorang diri adalah memori yang mempunyai tempat tersendiri dalam hati saya.

KTJ mewajibkan pelajarnya untuk terbabit dalam kegiatan kokurikulum bagi melahirkan pelajar yang serba boleh. Selain itu, KTJ juga mempunyai banyak platform untuk aktiviti kemanusiaan dan kesukarelawanan.

Ketika berada dalam Tingkatan 6 Atas, saya bersama-sama beberapa rakan lain menganjurkan Nasyid Festival membabitkan 10 sekolah di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor termasuk Kolej Yayasan UEM.

Penganjuran program ini juga sangat memberikan kesan kepada saya secara peribadi kerana terpaksa bertindak sebagai pemikir dan koordinator program yang julung kali diadakan di KTJ. Saya tidak mungkin dapat melepasi setiap rintangan yang cuba menghalang program ini tanpa sokongan dan semangat daripada rakan-rakan yang lain.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH edisi 6 dan 11 November 2014)

Auditorium KTJ