A collection of short posts

 

Pecah


Matamu bergenang memantulkan pecahan warna yang kau sembunyikan dalam sukma yang telah tercarik seribu.  Namun tenanglah, mengulum semua perasaan dalam diam. Pelan-pelan, Tuhan pasti menyambut tangan yang kau hulurkan.

Mac 3, 2019 | KL

Kawalan


Kita tidak punya kawalan dalam banyak takdir dan suratan, tetapi kita punya kebebasan penuh terhadap gaya pemanduan dan cara menikmati perjalanan.

Januari 21, 2018 | KL

Gopoh


Tidak cukup sekadar menjadi pahlawan di muka buku, marilah kita membudayakan ilmu. Kadang-kadang, masalah tidak selesai dengan menjerit jerkah ke sana ke mari. Kita ini seringkali gopoh. Semangat berkobar-kobar yang tidak disalurkan dengan baik dan tidak dipandu oleh ‘akal, akan menyesal di hari muka. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Ambil masa, kalau memang kita belum bersedia, jangan gaduh memaksa-maksa. Umpama ulat beluncas di dalam kepompong hendak menjadi rama-rama, dikerat manusia kononnya hendak memudah cara.

Disember 9, 2014 | KL

Kitar


Sesungguhnya selepas gelita itu terang kan menjelma. Bukankah dunia kitarnya sentiasa? sehingga Tuhan menghendaki Hari Hitungan bermula.

Beransur-ansur, awan mendung akan berarak pergi. Suatu hari nanti, pasti langit akan menghadiahkan pelangi berkat kesabaran kita menanti.

September 24, 2014 | KL

Periksa


Kadang-kadang kita rasa kita mangsa dan kita salahkan orang lain atas perkara yang menimpa, lalu kita pun lupa nak cari di mana khilafnya kita.

Kita rasa diri tak bersalah dan ego untuk mengubah apa-apa.

Akibatnya, kita tidak belajar dan teruskan lagi perangai lama. Di hujung cerita, siapa yang rugi sebenarnya? Sedangkan hidup adalah guru yang terbaik, kalau saja kita mampu memanfaatkan pengajaran dari perjalanan-perjalanan pengalaman sekiranya kita rajin memeriksa.

September 20, 2014 | KL