Assalamualaikum wbt,

Ke hadapan adinda yang sedang lelah menjaga karunia; nyawa suci yang Tuhan anugerahkan kepadamu, moga mekar dan lahir ke dunia dengan sejahtera.

Alhamdulillah, aku telah tiba ke bumi barakah yang sekian lama dirindui. Perjalanan panjang yang ditemani pelbagai lapisan awan perasaan. Di luar sedar, anganku terbawa jauh ke masa lampau, melewati satu demi satu babak yang laju berputar di sebalik pejam, sedar-sedar aku harus menyarung kaca mata hitam sebaik sahaja tiba di lapangan. Entah bila empangan pecah pun tidak dapat aku pastikan.

Adinda,

Sekuat apakah hati seorang perempuan?
Adakah ia akan sentiasa kuat, walau semakin dimamah ujian?

Seseorang pernah mengatakan kepadaku bahawa semua orang kadangkala terlontar ke sudut kekecewaan apabila banyak hal yang diusahakan dengan sulaman kesungguhan dan perhatian, akhirnya gagal di pertengahan. Termasuk kita, perempuan-perempuan dengan hati kecekalan.

Aku membalas tatapan kosong, tidak mahu memberi ruang.

Namun setelah semuanya, barangkali aku harus mengakui bahawa menyantuni pelbagai ragam manusiawi ini ada ketikanya menguji kesabaran dan mengundang titik-titik hitam. Setelah harapan demi harapan yang kita ukir bersama, sekelip mata dihancurkan. Begitu sukar memahamkan sebuah kesanggupan yang tidak dapat direlakan.

Ketika keringat dan pengorbanan tidak lagi dihargai, sulitnya menyembuhkan luka di relung hati.

Terasa ingin membawa diri ke pulau tak berpenghuni. Menghitung detik demi detik sendiri. Biar bergelora samudera dunia, di balik gunung kita bersembunyi.

Ah, cetek sekali perkiraanku, bukan?

Sejak bila jiwa serikandi diizin berlemah-lemau terbuai murung dibuat gundah oleh mereka yang tak endah?

Adinda, maafkanlah perkataan kanda yang sia-sia ini.

Kukira begitulah berkecainya jiwa seorang bonda yang mendidik anaknya dari tapak kaki sebesar dua jari, untuk menjadi insan yang berguna untuk keluarga dan agama, lalu tiba-tiba anak itu memilih untuk berpaling dari taat kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada.

Dan kukira begitulah juga haru-birunya dunia; ada kalanya kita curahkan segenap tenaga ke atas orang yang kita sayang, agar membesar menjadi pahlawan yang teguh dengan kebenaran. Tetapi kebebasan membuat pilihan adalah taklifan amanah yang Tuhan beri kepada setiap insan. Ada perkara yang tak mampu kita bendungkan, dan harus kita terima walau  dalam keterpaksaan.

Justeru dinda, kau bakal bergelar ibu – madrasah buat anak-anak, yang lahir dari rahimmu. Aku yakin kau harus lebih siap dengan hikmah yang bijaksana, buat menghadapi hari-hari kemerdekaan mereka.

Adinda, perjalananku kali ini tidak ditemani sesiapa. Kerana aku telah menegaskan mustahaknya kerjasama. Tidak mengapa, aku sudah biasa terlihat sebatang kara. Tidak apa-apa, kehadiranmu akan mengiringi sentiasa. Lagipun aku cuma kembali ke tempat lama, yang telah menyaksikan kerapuhanku buat kali pertama.

Aku lihat matahari jatuh di birai langit senja, disambut bulan yang menyinar samar-samar, ditemani sekumpulan kejora yang mengerdip pudar. Barangkali matahari keletihan malam ini. Iya, kan seharusnya di belakang bulan itu, ada mentari? Andai bulan terlihat lemah, bererti matahari sedang lelah.

Dinda, kau tahu, sebelum matahari jatuh, ia sempat berbisik kepadaku, “Setelah semua ini, aku akan tetap menyinari bumi, tanpa mengatakan ‘kau malah berhutang denganku’. Aku akan terus berada di sini, sehingga Tuhan memanggilku pergi.”

Aku berbalas senyum dengannya, dan menyapu air jernih di tubir mata.

Saat ia menghilang dari pandangan, aku menarik bagasi menuju pemandu yang sedang menunggu di luar lapangan.

Aku menelan kepedihan di tenggorakan, lalu meneguhkan azam.

Dari birat-birat luka semalam, kita akan melangkah dengan tenang.
Sekalipun dunia sering kejam, kita tidak akan berdendam.

Begitulah, hati perempuan akan terus kuat meskipun dimamah ujian.

Salam sayang penuh keikhlasan, buatmu dan seisi a’ilah yang tidak pernah putus dari ingatan.

sup-11