Surat Untuk Perempuan (12)

Assalamualaikum wbt,

Ke hadapan adinda yang selalu dekat di hati meski jauh di mata. Apa khabar belahan jiwa yang sekian lama tidak bersua? Semoga kau sentiasa baik-baik sahaja.

Adinda,

Betapa aku mengharap kau di sisi pada saat-saat runcing begini. Saat di mana aku ragu-ragu untuk memilih antara dua simpang. Saat di mana aku memerlukan siraman hikmah untuk menyejukkan nurani yang sedang hangat oleh kemarahan yang membara dan belum mahu reda.

Mungkin tak perlu aku ceritakan dengan tepat, kau pasti mampu mengagak.

Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina. Sekilas keluh mendengus , sudah tahu angin mana yang melanda.

Adinda,

Benarlah kata pepatah, ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Hati yang memang mati, andai diikut juga, matilah tuannya. Rasa yang memang dusta, andai diturutkan juga, binasalah manusia.

Tidak akan ada kata-kata yang dapat menggambarkan keributan yang menghimpit dan menyesakkan dada.

Tidak akan ada irama yang dapat meringankan sarat bebanan yang perlu ditanggung oleh jiwa.

Namun sampai bila?

Sesetengah langkah yang tersilap memang akan menghantui sampai mati.

Sesetengah kebodohan yang terlajak memang akan merasuk kewarasan sampai lelah.

Dan sesetengah kecuaian yang terjadi memang mengundang padah sampai parah.

Tapi kita tidak perlu terus terjerut di dalam jerat ciptaan pengecut yang tidak berani ke hadapan. Baling batu sembunyi tangan. Kita telah tersilap perkiraan, terjatuh dan terpedaya oleh umpan yang menggoda perhatian. Cukuplah sampai di situ kita rebah dalam kedangkalan.

Untuk seterusnya, kita boleh memilih menentang; berhenti diperkotak-katikkan oleh buaya-buaya cauvinistik yang tidak berhati perut menjadikan maruah dan harga diri sebagai bola permainan, dan kita akan menikam sukma kejahatan dengan puisi-puisi kejam. Biar bilah-bilah tuntas yang dibalut dendam mengejar sehingga ke lubang pendustaan. Sehingga bayang-bayang sengsara akan membuat malam-malam penguasa jadian bersalut kelam.

Hanya ketajaman akal akan menewaskan golongan yang tidak reti bahasa, justeru kita tidak akan digentarkan oleh sebarang ugutan.

Atau.. kita boleh juga memilih hikmah dan perdamaian.

Bukan berdamai dengan makhluk perosak yang menabur racun bersalut manisan, tetapi berdamai dengan diri sendiri yang anggap sahaja ditimpa malang. Selagi kita melawan, kita sendiri tidak akan tenteram. Dikuasai oleh api kemarahan yang semakin marak dan akhirnya menelan seluruh tanaman amal yang telah kita usahakan.

Seperti seseorang pernah mengatakan; tidak ada insan yang tak terlepas dari kesalahan. Tetapi setiap insan perlu belajar dari kesalahan yang pertama dan terus memperbaiki diri agar tidak mengulangi hal yang sama. Sekiranya ia terus menerus mengulangi kesalahan itu,  lama kelamaan dirinya akan menjadi destruktif– memusnahkan diri secara peribadi.  Juga orang lain yang berdekatan.

Oleh sebab itu, kita diajar agama untuk cepat-cepat memperbetulkan kesalahan dan jangan menangguhkan taubat ketika ada peluang.

Adinda,

Adakah kemungkinan untuk tidak perlu berbuat pilihan? Dan berulang-alik menelusuri kedua-dua denai di persimpangan?

Sudah tentulah ia akan berakhir sebagai satu lagi perbuatan sia-sia, bukan?

Baiklah.

Di atas runtuhan kota rasa, kita dirikan jiwa merdeka.

Dari puing-puing doa yang berkecaian, kita bangunkan makna hamba.

Agar dengan kekhilafan yang telah berlalu menjadi asbab untuk mendapat kurniaan yang lebih baik di sisi Tuhan.

Terima kasih untuk keajaiban yang selalu aku dapatkan usai mengarang sepucuk surat buatmu, adinda yang sentiasa mendamaikan.

Salam sayang untukmu dan semua yang sentiasa kudoakan keberkatan di tanah watan.

 

Share: