Setiap insan diciptakan unik. Tidak ada yang sama pada dua batang tubuh di atas dunia ini, sekalipun dilahirkan kembar. Begitu juga perjalanan hidup manusia. Kita mungkin dibesarkan oleh ibu bapa yang sama, pergi ke sekolah yang serupa, tetapi pengalaman kita pasti berbeza. Dan, manusia paling banyak belajar melalui pengalamannya sendiri.

Lima tahun lalu, saya masih seorang pelajar sekolah menengah yang mentah, yang rutin hariannya bergelumang dengan buku-buku pengajian demi sekuntum kejayaan untuk dihadiahkan kepada orang-orang tersayang.

Hari ini saya menoleh ke belakang dan saya bersyukur, kerana mampu tersenyum melihat masa silam. Senyuman yang ditemani air jernih bertakung di kolam mata.

Ramai yang bertanya tentang perkembangan semasa saya. Sering, saya memilih untuk menjawab sambil lalu apabila dihujani soalan demi soalan, dengan harapan ia akan berhenti, walaupun untuk seketika. Mungkin di sebalik rasa ingin tahu itu, ada yang mengutus doa dari jauh, saya ucapkan jutaan terima kasih, yang tidak terhingga.

Bukan saya tidak mahu bercerita, dan bukan juga saya suka untuk menyimpan sendiri sahaja semua kisah. Bahkan, saya percaya, bahawa manusia harus saling berkongsi pengalaman. Pesan ayah “orang yang pandai ialah orang yang belajar dari kesalahannya, tetapi orang yang lebih pandai ialah mereka yang belajar dari kesalahan orang lain.” Jadi, apa salahnya, kalau kita saling menunjukkan jalan dalam mengharungi bahtera kehidupan?

Mungkin sudah tiba masanya untuk saya mula membuka bicara.

Selepas mendapat apa yang diimpikan dalam peperiksaan SPM, saya memutuskan untuk menyambung pengajian dalam bidang Fizik di Jordan University of Science and Technology (JUST), Irbid. Saya menghabiskan lebih kurang 3 bulan di Pusat Persediaan InTEC, Uitm Shah Alam sebelum terbang ke Jordan pada September 2009.

Hampir setahun di bumi anbiya’, saya menghabiskan tahun pertama di JUST dengan kelegaan. Pengalaman sebagai pelajar Malaysia pertama yang mengambil jurusan Fizik di JUST membuka mata saya tentang banyak perkara. Saya pulang ke Malaysia dan berbincang dengan Bank Negara tentang hasrat untuk menukar tempat pengajian ke universiti di negara Eropah pula.

Perbincangan berlangsung lancar, dan Ramadhan tahun 2010, permohonan saya diluluskan. Negara yang disepakati ialah United Kingdom. Namun, untuk menyambung ijazah di sana, saya perlukan Sijil A Level. Lalu, saya telah dimasukkan ke Kolej Tuanku Jaafar untuk mempersiapkan diri.

Setelah dua tahun menjadi pelajar Tingkatan Enam di Kolej Tuanku Jaafar, iaitu sebuah sekolah berasrama antarabangsa yang terletak di Mantin, saya menamatkan A Level dan diterima masuk ke Universiti of Nottingham, UK dalam bidang Fizik. September 2012, saya memulakan sekali lagi sebuah kembara ke seberang laut. Dalam diam saya sematkan kata-kata hikmah di dada, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”. Dalam keterpaksaan, saya menanam tekad, “apa pun yang jadi, saya tidak akan berpatah balik”.

Perjalanan mencari diri diteruskan. Pelbagai pengalaman yang dilalui di UK, menjadikan saya berani bersiasat ke dalam diri. Berlaku jujur pada perasaan sendiri. Lantas, saya mengumpul segenap keberanian untuk menyuarakan rasa hati, bahawa saya sekali lagi mahu menukar pengajian. Kali ini, yang hendak ditukar bukan tempat pengajian, tetapi bidang pengajian.

Siapa sangka, ketika musim dingin melabuhkan tirai dan matahari mulai malu-malu menunjukkan dirinya, saya pulang ke Malaysia. Jun 2013, saya mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan yang tidak sampai setahun digauli.

Jun 2013, adalah tempoh-tempoh masa yang mendidik. Pada hari yang sama saya bertemu pihak penaja, iaitu Bank Negara Malaysia untuk berbincang tentang isu pengajian, ibu saya dimasukkan ke wad dan disahkan menghidap COPD. Saya kira, hikmah paling besar saya kembali ke Malaysia tersimpan di situ.

Perancangannya, saya mahu kembali ke Timur Tengah untuk mendalami ilmu agama, namun, Allah itu Maha Bijaksana dan Dia menetapkan takdir yang sungguh hikmahnya belum terlihat waktu itu. September 2013, saya menyambung Ijazah dalam bidang Ilmu Wahyu di UIA.

Akhirnya, setelah bertahun-tahun saya tinggalkan rumah, menjadi anak dagang yang tidak bisa duduk senyap di satu tempat, saya akhirnya ‘dipaksa’ duduk diam di tanah air sendiri.
Hampir setahun di UIA, ditemani adik lelaki saya, kami berulang-alik hampir setiap minggu untuk menjaga umi. Jun 2014, umi menghembuskan nafas yang terakhir. Betul-betul sehari sebelum Ramadhan. Malam terawih pertama tahun ini, kami berempat menyambut Bulan Puasa tanpa bonda.

Siapa sangka?

Hidup ini penuh kejutan, tidak begitu? Dan kejutan-kejutan itu lah sebenarnya yang menambah warna merencahkan rasa dalam kehidupan.

Alangkah, jika pengalaman setiap individu itu ibarat telaga yang airnya dinikmati oleh setiap makhluk Allah yang lalu lalang, betapa besar manfaatnya, kan? Maka terpulang lah kepada setiap anak Adam, bagaimana menjadi insan yang disebut Rasulullah SAW “ sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak manfaat kepada manusia lain”.

Barangkali ada yang memilih untuk menambat buah fikirannya dengan tulisan, sebagaimana yang dicadangkan oleh ahli bijak pandai tapi barangkali juga ada yang lebih gemar bercerita menggunakan kefasihan lisannya. Malah, mungkin ada yang lebih memilih untuk berdiam diri, dan menunjukkan akhlaknya yang terpuji. Diam itu adalah bahasa terindah, yang hanya dapat difahami oleh segelinitir sahaja . Setiap orang berhak memilih identitinya sendiri. Asal saja, tujuan hidup yang hakiki bisa dipenuhi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan.”

Singgah. Kerana kehidupan di dunia tidak selamanya. Semoga ada bakti yang ditaburi dalam setiap persinggahan, ada kenangan manis yang dipahat pada setiap jejak, ada pelajaran yang jadi iktibar dari setiap pengembaraan.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH, edisi 9 dan 16 Oktober 2014)