Tentang persahabatan dan sesuatu yang terlontar di luar duga.

Hidup ini aneh, bukan?

Kadang, kita bertanya soal-soal remeh, kepada seseorang yang tidak kenal letih.
Soalan seperti, “Kenapa langit itu biru?” atau, “Kenapa manusia tidak bisa terbang di udara persis cenderawasih?”
Samada seseorang itu akan tetap senyum dan melayani satu demi satu angan kita, atau memberi kata putus, “Kamu ini selalu berkhayal lebih!”
Tidak apa-apa. Sebab seseorang itu tetap di situ, dan tidak pernah akan menyisih.

Lalu apakah yang aneh?
Aneh, kerana seseorang itu mengenalimu dan menghargaimu dengan seluruh hati yang jernih.
Tanpa sebarang iri, atau makar yang tersembunyi, atau pulangan duniawi yang diintai-intai untuk diraih.
Padahal kau, hanyalah insan yang juga tak lepas dari cacat cela dan cuai yang tak habis.

Seseorang itulah yang dinamakan ‘Sahabat’.

IMG_20180406_124110_575

Seorang sahabat adalah seseorang yang kita pilih.
Kita pilih dengan penuh sedar dan pertimbangan realis.
Meskipun kadangkala, kehadirannya bagaikan magis. Muncul di celah-celah peristiwa tragis, tatkala kesabaran mulai menipis.
Tetap kita berhati-hati agar tidak tersalah serah percaya, boleh jadi sedikit pesimis.
Tapi ya, itulah, persahabatan bukan bisa diambil picis.

Seorang sahabat boleh jadi seseorang yang punya pertalian darah dengan kita; ibu, ayah, adik beradik, sepupu, suami, isteri .. atau boleh jadi juga seseorang yang langsung tidak ada apa-apa hubungan keturunan, walau setitis.
Hubungan darah, adalah hubungan yang terjadi oleh takdir dan tak mungkin kita tepis.
Padanya, ada tanggungjawab dan hak yang telah abadi tertulis.
Tapi posisi satu sahabat adalah penghormatan yang Tuhan biarkan kepada kita untuk ditapis.

Iya, seperti Rasulullah SAW yang bersahabat dengan isterinya Khadijah RA dan bapa saudaranya Abu Talib sehingga apabila kedua-duanya meninggal pada tahun yang sama, lalu digelar Tahun Kesedihan, kemudian Allah SWT menghadiahi baginda Isra’ dan Mi’raj buat pengubat kalbu yang sedang pedih.
Setelah cabaran demi cabaram, penyeksaan demi penyeksaan, oleh pemuka-pemuka Quraisy yang juga antara lainnya adalah bapa saudara baginda sendiri, Abu Lahab yang setia membuat onar tanpa mengenal jerih.

Kerana itulah, kalimat ‘Sahabat’ ialah kalimat suci yang tidak senang-senang kita kalungkan kepada sesiapa sahaja yang sekadar mundar mandir di jalanan waktu lalu berselisih.

IMG_20180408_090916_415
Seorang sahabat, ialah dia yang selalu ada di saat sedih.
Dia yang tidak kekok menegur dan membetulkanmu bila kau jatuh, demi melihatmu pulih.
Dia yang sentiasa bersama, walau dalam apa jua bentuk; ada atau tiada di hadapan mata, tetap setia mendokong usaha yang kau jalankan dengan gigih.
Kerana dia sejak awal telah nekad menyambut huluran tanganmu dengan selembar hati yang putih bersih.
Bukan hati yang bersalut kerak egois. Atau sekadar bertenggek menjadi populis. Atau sibuk menyiapkan topeng berlapis-lapis.

Rasulullah SAW telah berpesan, yang mafhumnya adalah seseorang itu akan mengikut agama temannya, maka perhatikanlah dengan siapa dia berteman. (1)
Tentu sekali, sebab seorang teman itu pengaruhnya besar sekali di dalam kehidupan.
Kerana itu, di sisi agama, sebuah persahabatan tidak sekadar lingkaran konstruk sosial, tetapi juga fondasi yang di atasnya terbina kekukuhan semangat insan.
Yang membawa ke masa hadapan; ke Hari Penghisaban.
Hari di mana teduhan telah dijanjikan buat mereka yang saling mengasihi kerana mencari keredhaan Tuhan. (2)
Oleh yang demikian, kita telah ditunjukkan tentang bagaimanakah mencari sebenar-benar persahabatan.
Pertama, seseorang yang apabila kau melihatnya, kau jadi teringat kepada Tuhan. (3)
Kedua, seseorang yang apabila dia menutur kata, ia menambahkan pengetahuan.
Ketiga, seseorang yang tingkah lakunya membuatmu memikirkan Hari Kebangkitan.
Dikatakan ciri-ciri ini adalah dari hadis Rasulullah SAW, sebagaimana disampaikan Al-Muhasibi, seorang ulama’ sufi yang menjadi rujukan.
Namun sejauh mana kesahihannya belum dapat dipastikan.
Tidak mengapa, kita akan mengambilnya sebagai panduan.
Bukan panduan mencari sahabat yang memenuhi ciri-ciri yang dimaksudkan, tetapi untuk kita terlebih dahulu, menyemak ke dalam diri dengan ciri-ciri demikian.

IMG_20180415_100546_663
Ibrahim khaliluLlah, sebagaimana termaktub dalam Surah An-Nisa’ ayat 125 yang difirman Tuhan.
Khalil ialah perkataan Arab yang bermaksud sahabat,teman, kawan.
Nabi Ibrahim AS telah diangkat ke satu darjat penuh kemuliaan.
Apakah yang baginda AS lakukan sehingga Allah SWT memuliakannya sebagai Khalil’-seorang teman?’
Telah diceritakan bahawa baginda AS amat mencintai Allah SWT dan sangat gemar memberi kepada sesiapa sahaja tanpa mengharapkan balasan.
Nah, begitulah kunci yang ditauladankan.

Lalu, harus apa lagi kita mahukan?

Pertemanan bukan tentang sorak sorai kemenangan atau lindung melindungi dalam perkara yang terlarang.
Tetapi pertemanan adalah sebuah sumpah setia untuk sama-sama berpimpin tangan, menuju kebahagiaan.
Kebahagiaan sejati dan hakiki, bukan kepalsuan yang bersulam pendustaan.
Saling memberi walau dalam ketiadaan hanya kerana kau punya satu sama lain, dan telah saling menyandarkan pengharapan cuma kepada Tuhan.

Justeru, kalau kau telah bertemu seseorang yang bisa kau mahkotakan sebagai ‘Sahabat’ dalam hidupmu, jagalah dia sebaiknya.
Jangan hilangkan dirinya hanya kerana dunia dan habuannya yang sementara.
Betapa banyak persahabatan yang telah retak oleh fitnah, haloba dan kata nista.
Bukan sedikit yang akhirnya berpusara di hujung percaya.
Kerana persahabatan tidak dapat ditukarganti dengan wang dan berlian, tetapi dipertaruhkan dengan maruah, kejujuran dan kepercayaan dari jiwa manusia. Yang tak mungkin terbeli oleh dunia. Juga tak mungkin dipaksa-paksa, sebab ia harus terbit dari rahim ketulusan yang tidak berpura-pura.

Selamat bersahabat sehingga ke syurga.

friendship-trust

Dan tentang sesuatu yang terlontar di luar duga?
Tenanglah, kerana di sana ada hikmah yang tidak terjangka.
Bersyukurlah kerana pelangi yang dipuja rupa-rupanya api yang marak menyala.
Mungkin kerana itu, Tuhan menguji dengan peristiwa yang berbeza, agar terdedah rupa dan warna.
Segala puji untukNya, kerana dalam banyak hal yang tak terduga, sebenarnya Tuhan sedang mengajar kita berbaik sangka.

Rujukan:

(1) Sunan Abi Daud :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ ‏”‏ 

(2) Muwatta’ Imam Malik :

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ لِجَلاَلِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلِّي ‏

(3) Al-Adab Al-Mufrad :

 عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ يَزِيدَ قَالَتْ‏:‏ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم‏:‏ أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِخِيَارِكُمْ‏؟‏ قَالُوا‏:‏ بَلَى، قَالَ‏:‏ الَّذِينَ إِذَا رُؤُوا ذُكِرَ اللَّهُ، أَفَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِشِرَارِكُمْ‏؟‏ قَالُوا‏:‏ بَلَى، قَالَ‏:‏ الْمَشَّاؤُونَ بِالنَّمِيمَةِ، الْمُفْسِدُونَ بَيْنَ الأَحِبَّةِ، الْبَاغُونَ الْبُرَآءَ الْعَنَتَ‏.‏