Kedengaran suara dari tingkat atas, “Wah, cantiknya! Salji dah turun!” Saya bergegas bangkit dari katil dan bergegas ke dapur. Bilik saya terletak di tingkat bawah, jadi tingkapnya sengaja dilekatkan dengan kertas kerana jika tidak, orang lalu lalang di luar boleh nampak ke dalam. Dalam masa yang sama, saya juga tidak dapat melihat ke luar jendela.

Nottingham diliputi ketulan ais putih. Kelihatan bersih dan suci sekali. Akhirnya, musim dingin yang panjang menghadiahkan kami salji.

Salji sedang turun lebat di luar rumah. Subhanallah, begitu indah ciptaan Allah ini. Seorang ahli rumah saya turut berlari ke bawah. “Madihah, jom keluar, main salji sekarang!” sambil mencapai wind breaker yang tergantung di ruang tamu. Walaupun sudah mencecah empat tahun di sini, dia masih teruja dengan kedatangan salji. Apa lagi, saya terus menyarung kot labuh dan menyertainya di belakang rumah.

Salji sudah mulai tebal walaupun baru sahaja turun pagi ini. Tanpa memakai sarung, saya menyentuh salji dengan tangan dan merasai sendiri ketulan ais yang gugur dari langit. Sejuk! Saya melepaskan salji dari genggaman. Saya kutip salji yang gugur ke atas pokok dan cuba menggigitnya. Um! Tawar. Saya gelak kecil, sementara ahli rumah saya asyik dengan kenakalannya sendiri.

Ya, kadang-kadang, kami jadi begitu keanak-anakan.

Tapi, hal-hal sebegini memeriahkan lagi warna dalam kehidupan kami yang jauh dari keluarga. Komitmen terhadap pelajaran dan kesibukan dengan persatuan, urusan-urusan lain, jika tidak diurus dengan baik, mampu membuat kami tertekan. Maka, peranan kawan-kawan dan senior-senior adalah sangat penting bagi memastikan tidak ada yang tewas oleh kekalutan perasaan.

Malahan, berada di UK, kami juga terdedah kepada ‘winter depression’. Musim sejuk yang mendung dan panjang boleh mengakibatkan tekanan perasaan. Saya tidak terkejut apabila diberitahu oleh seorang senior yang membuat kajian tentang teori empat jenis perangai manusia (4 types of temperament) yang terdiri dari melancholy, choleric, phlegmatic dan sanguine, bahawa orang-orang UK ini kebanyakannya melancholy.

Menurut laman sesawang National Health Service, Seasonal Affective Disorder (SAD) atau dikenali juga sebagai winter depression (kerana simptomnya kerap muncul di musim sejuk) ; antara faktor yang dipercayai menyebabkan SAD ialah kekurangan cahaya matahari. Hal ini disebabkan, tanpa cahaya matahari yang cukup, penghasilan hormon melatonin dan serotonin akan terjejas, lalu menyebabkan perasaan bosan, tiada mood, banyak tidur dan tidak berminat untuk meneruskan kehidupan.

Kalau di Malaysia, kita sering merungut dengan terik matahari, di satu sudut dunia, ada orang yang sangat berharap untuk melihat cahaya matahari. Sekarang saya faham kenapa orang putih sangat teruja melihat matahari di tempat kita. Bahkan, setelah beberapa minggu dipeluk salji dan merasakan tempias ‘tekanan musim dingin’, saya juga mulai merindui kehangatan matahari di tanah air.

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”
(Surah Ar-Rahman: 21)

(Artikel disiarkan di Varsiti BH edisi Jan 2015)