Sebenarnya saya sangat-sangat jarang berkongsi tulisan yang berbentuk Tips begini di media sosial mahupun laman web.

Sebab saya lebih cenderung untuk mengajak para pelajar faham dahulu intipati sebuah proses pengajian, berbanding terburu-buru untuk skor dalam peperiksaan.

Terima kasih kepada adik-adik yang telah memberi inspirasi di sebalik terbitnya entri ini.

Asalnya ini ditulis untuk menjawab soalan mereka, tetapi memandangkan SPM tinggal tak sampai sebulan sahaja lagi, dan saya juga kerap ditanya oleh adik-adik pelajar yang lain mengenai soalan yang sama, harap perkongsian ini sedikit sebanyak akan berguna.

Bittaufiq wan najah!

BAHAGIAN 1 : BELAJAR SECARA BERKUMPULAN

Kumpulkan rakan-rakan, dan bentuk satu kumpulan belajar.

Apa yang penting adalah:

– satu kumpulan jangan lebih 10 orang

– setiap anggota kumpulan perlu serius dan berdedikasi

Setelah kumpulan dibentuk, lantik seorang ketua dan ambil masa masing-masing selama 10 minit untuk buat perkara 1-2 di bawah:

1- SENARAIKAN semua topik yang ada dalam sukatan pelajaran dari Tingkatan 4-5. Gunakan buku teks sebagai rujukan, buka muka surat KANDUNGAN untuk mendapatkan senarai tajuk yang ada. (Boleh juga guna buku rujukan lain, mengikut pertimbangan/keselesaan masing-masing)

2- KENALPASTI tahap kefahaman sendiri bagi setiap tajuk yang disenaraikan. Berikan ‘rating’ kefahaman mengikut skala 1-3.

1: Sangat faham

2: Faham sikit-sikit

3: Tak faham langsung / Banyak sangat tak faham

Apabila selesai, ‘highlight’/gariskan tajuk yang mendapat rating 3.

Kemudian, duduk dalam kumpulan semula, dan KONGSIKAN senarai masing-masing kepada ahli kumpulan. Dalam kumpulan, buat perkara 1-5  di bawah:

1- Go through senarai semua orang, dan pilih 5-10 tajuk yang paling ramai (majoriti) beri rating ‘3’. Bilangan tajuk bergantung kepada ahli kumpulan. Jika ada 5 orang, pilih 5 tajuk dengan rating 3. Jika 10 orang, pilih 10 tajuk dengan rating 3.

2- Bahagikan tugas kepada setiap ahli kumpulan untuk ajar yang lain dengan memberikan topik tersebut kepada orang yg berikan rating 1 atau 2.

(PROSES PEMBAHAGIAN TAJUK INI JANGAN AMBIL MASA LEBIH 10 MINIT)

3- Ambil masa 10 minit untuk masing-masing bersedia dengan topik.

4- Mulakan MENGAJAR secara bergilir-gilir. Setiap orang diberi masa 15 minit sahaja, jangan lebih 20 minit.

5- Jika ada soalan, kumpulkan untuk tanya di hujung, agar tak ganggu proses pembentangan seterusnya. Tanya semula apabila semua orang telah selesai pembentangan masing-masing.

Sebagai kesimpulan, kata kuncinya adalah:

SENARAIKAN -> KENALPASTI -> KONGSIKAN -> BAHAGIKAN -> AJARKAN

CONTOH :

Subjek : Sains

Nama Pelajar: Ahmad

Topik    Skala
Bab 1 : Penyiasatan Saintifik     1
Bab 2 : Koordinasi Badan 1
Bab 3: Keturunan Dan Variasi 2
Bab 4: Jirim dan Bahan 2
Bab 5: Tenaga Nuklear 2
Bab 6: Tenaga Dan Perubahan Kimia 3
Bab 7: Cahaya, Warna Dan Penglihatan 3
Bab 8: Bahan Kimia Dalam Perindustrian 1
Bab 9: Mikroorganisma Dan Kesannya Ke Atas Hidupan 1
Bab 10: Sebatian Karbon 3
Bab 11: Nutrisi Dan Pengeluaran Makanan 1
Bab 12: Gerakan 1
Bab 13: Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Alam Sekitar 1
Bab 14: Peningkatan Pengeluaran Makanan Dan Teknologi Makanan 1
Bab 15: Bahan Buatan Dalam Perindustrian 3
Bab 16: Elektronik Dan Teknologi Maklumat 2

Nama Pelajar: Ali  

Topik    Skala
Bab 1 : Penyiasatan Saintifik     1
Bab 2 : Koordinasi Badan 1
Bab 3: Keturunan Dan Variasi 3
Bab 4: Jirim dan Bahan 3
Bab 5: Tenaga Nuklear 2
Bab 6: Tenaga Dan Perubahan Kimia 1
Bab 7: Cahaya, Warna Dan Penglihatan 1
Bab 8: Bahan Kimia Dalam Perindustrian 1
Bab 9: Mikroorganisma Dan Kesannya Ke Atas Hidupan 3
Bab 10: Sebatian Karbon 2
Bab 11: Nutrisi Dan Pengeluaran Makanan 1
Bab 12: Gerakan 3
Bab 13: Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Alam Sekitar 1
Bab 14: Peningkatan Pengeluaran Makanan Dan Teknologi Makanan 1
Bab 15: Bahan Buatan Dalam Perindustrian 2
Bab 16: Elektronik Dan Teknologi Maklumat 2

Jadi, Ahmad boleh ajar Ali Bab 3, 4, 9, dan 12 sebab dia faham tajuk-tajuk tersebut. Manakala Ali boleh ajar Ahmad Bab 6,7,10 dan 15.

Nota:

  • Ini cuma contoh ringkas antara 2 orang
  • Dalam kumpulan, lebih ramai pelajar yang terlibat, jadi ikut suara majoriti
  • Kalau ada satu topik yang SEMUA orang TAK FAHAM (SEMUA ORANG BERI RATING 3), letak tajuk tersebut di hujung dan bincang bersama selepas habis pembentangan semua.
  • Bawa soalan yang nak tanya kepada guru/rakan lain yang lebih faham

Jumlah masa yang diambil untuk menjalankan kumpulan perbincangan ini sepatutnya tidak lebih 3 JAM untuk satu SUBJEK.

Kelebihan belajar dalam kumpulan di saat akhir:

1- Mempercepat kefahaman. Bayangkan kalau belajar sendirian, 2 hari belum tentu boleh habiskan sukatan yang sukar. Tetapi kalau saling kerjasama, inshaAllah dalam 3 jam sahaja, dapat cover hampir 10 topik yang sukar.

2- Memudahkan hafalan. Selalunya apabila kita berkongsi dengan orang lain, kita akan lebih mudah ingat dan lebih lama ingat sesuatu. Begitu juga bila kita dengar orang lain cakap, lebih mudah lekat di memori, berbanding kita bercakap sendirian dalam hati. (Bila baca buku seorang)

3- Mengelakkan mengantuk. Jika belajar sendiri mungkin akan mudah mengantuk, belajar dengan rakan inshaAllah dapat kurangkan risiko terlelap semasa belajar.

4- Keberkatan. InshaAllah bila belajar sama-sama, kita dapat keberkatan lebih sebab kita saling membantu antara satu sama lain.

5- Mendapat semangat/ dorongan. Setiap kali rasa nak putus asa, kawan yang baik akan beri semangat agar kita terus berusaha. We are in this together.

Semua kelebihan ini dengan syarat, setiap orang berikan FOKUS dan KOMITMEN yang tinggi sepanjang tempoh perbincangan. Oleh itu peranan ketua adalah sangat penting untuk:

  • memastikan semua orang sentiasa fokus
  • menjaga masa
  • memastikan tidak buang masa ke hal-hal lain yg tidak berkaitan

Seterusnya, apabila selesai belajar dalam kumpulan, balik ke rumah masing-masing, dan cover sendiri topik-topik lain yang tidak dibincangkan di dalam kumpulan.

BAHAGIAN 2: BELAJAR SECARA INDIVIDU

Beberapa TIPS yang boleh dikongsikan untuk belajar secara individu di rumah:

1- Buat jadual untuk habiskan topik yang berbaki

2- Lakar peta minda untuk mendapat gambaran keseluruhan bagi sesuatu tajuk

3- Banyakkan latihan dari kertas model SPM untuk membiasakan diri dengan trend soalan

4- Setiap kali jumpa bahagian tak faham, selawat 3 kali, dan cuba faham sekali lagi

5- Tandakan bahagian yang memang tak dapat nak faham langsung, dan tanyakan pada guru/kawan secara peribadi

6- Gunakan kaedah pneumonik mengikut kreativiti sendiri. Boleh juga rujuk laman tips-menghafal-saat-saat-akhir/ untuk sedikit perkongsian.

SECARA KESELURUHANNYA, DI SAAT-SAAT AKHIR BEGINI, PASTIKAN ADIK-ADIK:

  1. Banyakkan berdoa bagi orang Islam atau bermeditasi bagi yang bukan Islam.
  2. Minta restu ibu bapa dan guru, mohon maaf atas kesilapan selama ini. (Kalau ini pertama kali nak minta maaf pun tak apa; manusia sentiasa berubah, dan kita perlu berubah kepada lebih baik selagi ada masa)
  3. Dapat rehat yang cukup. Jangan paksa diri buat sesuatu yang di luar kemampuan.
  4. Bertenang dan tidak panik.
  5. Sentiasa positif dan anggap tempoh ini sebagai satu proses pembelajaran yang menjadikan kita lebih baik, walau apa pun keputusan yang akan diperolehi. Dengan kata lain, just do your best, leave the rest to Allah.

Selamat berusaha dan berikhtiar sedaya upaya! Tidak ada istilah kegagalan bagi orang yang berusaha, kerana Allah SWT mengira setiap usaha yang baik dan benar sebagai amalan kebaikan inshaAllah, walau apa pun natijahnya !